Saturday 29 October 2011


RUMAH GANTI KAMPUNG BUAH PALA – LAYANAN ISTIMEWA
KEPADA"BROKER" YANG "BANTU" PENDUDUK BERPINDAH



Taman Buah Pala, Bukit Gelugor, Pulau Pinang - Asal usulnya
Kampung Buah Pala yang pernah menjadi kontroversi
Kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya Lim Guan Eng begitu bangga dengan slogan pentadbirannya iaitu C.A.T (Competency, Accountability, Transparency). Ke mana dan di mana saja, Guan Eng dan juak-juaknya akan menjaja slogan ini untuk menunjukkan bahawa Kerajaan DAP di Pulau Pinang adalah pilihan paling ideal berbanding pentadbiran Barisan Nasional.

Betulkah Kerajaan Negeri pimpinan DAP dan Guan Eng itu benar-benar kompeten, punya akauntibiliti serta telus setelus-telusnya? Atau ianya slogan semata-mata untuk mengumpan rakyat Pulau Pinang agar terus memberi sokongan terhadap DAP bagi mengekalkan kuasanya di Pulau Pinang menjelang pilihanraya umum ke 13? 



Barisan 24 unit rumah ganti di kiri dan kanan untuk
bekas penduduk Kampung Buah Pala
Kelmarin, 25 Oktober 2011, akhbar The Star dalam laporannya bertajuk"Buah Pala Lots go to PKR men" mendedahkan tentang wujudnya layanan istimewa kalangan politik Pakatan Rakyat ke atas kroni mereka dalam pemberian lot-lot rumah ganti kepada bekas-bekas penduduk Kampung Buah Pala di Taman Kampong Buah Pala yang dimajukan oleh Syarikat Nusmetro Sdn Bhd. Dilaporkan juga bahawa dua buah unit rumah lot tepi telah diperuntukkan secara khas serta diberi kepada Pembantu Khas kepada salah seorang pemimpin DAP dan Pembantu Peribadi kepada seorang pemimpin PKR. 



Apa yang diberitahu oleh teman-teman Tok Jen orang yang dimaksudkan sebagai kroni DAP itu ialah Karunakaran a/l Retnam yang merupakan Pembantu Khas kepada Law Heng Kiang, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri yang juga merupakan ADUN DAP Batu Lanchang. Disahkan bahawa Karunakaran atau lebih dikenali sebagai "Mr Whiteman" itu telah diberikan rumah lot tepi No. 2, Lorong Kaki Bukit, Taman Buah Pala, Bukit Gelugor. Seorang lagi yang dikatakan turut mendapat layanan istimewa dikenali sebagai M. Santha yang diberikan unit rumah lot tepi No. 1 di taman sama. Wanita itu dikatakan mempunyai hubungan baik dan merupakan Pembantu Peribadi kepada S. Raveentheran, ADUN PKR Kawasan Batu Uban. Kedua-dua mereka adalah antara bekas penduduk Kampung Buah Pala yang terpaksa keluar mengosongkan kampung berkenaan ketika kontroversi perkampungan berkenaan memuncak tidak berapa lama dahulu.

Lot tepi No. 2 - diperuntukan khas kepada Pembantu Khas
ADUN DAP Batu Lanchang, Karunakaran
Isu ini jelas memperlihatkan tiada ketelusan atau kejujuran sebenarnya dalam pentadbiran Kerajaan DAP pimpinan Guan Eng. Apa yang nyata Pakatan Rakyat khususnya DAP juga turut mengamalkan kronisme dengan mengutamakan serta memberi layanan istimewa kepada kalangan mereka yang sehaluan dan rapat dengan mereka sepertimana yang diberikan kepada Pembantu Khas kepada Law Heng Kiang dan Pembantu Peribadi S. Raveentharan. Walaupun dalam kenyataan yang dibuat oleh Karunakaran a/l Retnam seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star kelmarin, Pembantu Khas kepada ADUN DAP Batu Lanchang itu menegaskan bahawa beliau tidak menduga akan mendapat lot tepi kerana pemilihan lot dibuat secara undian rawak. Kalau pun benar undian itu dibuat secara rawak, pengundian itu juga dipercayai dijalankan secara terancang agar kedua-dua mereka Karunakaran dan M. Santha mendapat unit-unit lot seperti ditetapkan. Pemberian kedua-dua unit khas berkenaan diyakini adalah sebagai "membalas budi" mereka selaku "broker" setelah berjaya menyakinkan para penduduk Kampung Buah Pala sebelum ini untuk keluar dari kampung itu bagi memberi laluan agar projek yang hendak dimajukan dapat dilaksanakan. P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang seperti yang dilaporkan akhbar The Star juga menafikan pembabitan Kerajaan Negeri dalam menentukan pemilihan unit-unit rumah ganti untuk bekas-bekas penduduk Kampung Buah Pala itu. Memanglah Kerajaan Negeri tak terlibat dalam pengendalian pemilihan atau undian untuk menentukan unit-unit rumah itu dan ianya dilakukan oleh pihak pemaju. Namun sudah tentunya ada "tangan-tangan tersembunyi" di belakang dalam menentukan siapa dan diberikan unit mana dalam undian yang bakal dikendalikan, itu saja.



Lot tepi No. 1 - diperuntukkan khas kepada M. Santha,
Pembantu Peribadi ADUN PKR Batu Uban
Selama ini Pakatan Rakyat khususnya DAP mengecam, mengkritik malahan menghina Barisan Nasional khususnya UMNO yang didakwa mengamalkan kronisme, tidak kompeten lagi untuk menerajui negara, tiada akauntabiliti dan tidak telus dalam segala hal serta dasar-dasarnya. Justeru itu, apakah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri pimpinan DAP / Guan Eng itu kompeten dan telus? Mengatakan dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Cakap tak serupa bikin. Di manakah realitinya slogan C.A.T yang dijaja di segenap pelusuk negeri atau pun yang sebenarnya ia membawa maksud amalan rasuah (Corruption) yang turut diamalkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Guan Eng itu di samping keangkuhan (Arrogance) serta pencabulan (Transgression) terhadap semua bentuk nilai murni, tatasusila, moral, peraturan dan sebagainya.

Sunday 23 October 2011


Makna kematian Gaddafi
Oleh ZIN MAHMUD
http://utusan.com.my/pix/2011/1023/utusan_malaysia/Rencana/re_01.1.jpg
Kegembiraan meraikan kematian Gaddafi belum menjamin keamanan Libya selepas ini.


BAGI mereka yang mengikuti laporan langsung oleh Al-Jazeera dan BBC mengenai kematian Muammar Gaddafi Selasa lalu, tentu dapat mendengar bunyi latar paparan dari Tripoli itu.
Ini kerana laungan yang terdengar itu adalah takbir hari raya berulang- ulang berkumandang menggunakan pembesar suara ketika anak-anak muda Libya bersorak kegembiraan apabila mendapat tahu Gaddafi telah mati.
Bagi orang Malaysia laungan takbir hari raya pada waktu ini adalah suatu yang pelik.
Dalam laporan langsung di BBC, pemberitanya ialah seorang bukan Islam dan apabila ditanya oleh pembaca berita dari London, apakah laungan yang didengar dari masjid itu, dia menjawab, tidak tahu tetapi menurutnya laungan itu berulang-ulang berkumandang sejak diumumkan kematian Gaddafi.
Di Al-Jazeera pula pemberitanya mengatakan bahawa laungan takbir itu adalah sebagai tanda kegembiraan rakyat Libya atas kematian Gaddafi.
Sememangnya dalam sejarah Islam, takbir yang dilaungkan semasa hari raya itu berupa zikir memuji kebesaran Ilahi ekoran kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar melawan Musyrikin. Dalam laungan itu dinyatakan kejayaan orang Islam mengalahkan orang kafir.
Adalah jelas rakyat Libya amat marah pada Gaddafi.
Amarah mereka ini menjadi tanda tanya bagi umat Islam di luar Libya. Ini kerana semasa hidupnya, Gaddafi dipandang tinggi oleh umat Islam.
Bermula dengan rampasan kuasa ke atas Raja Idris pada tahun 1969, Gaddafi muncul sebagai seorang pemimpin Islam yang berjuang membela hak kebangsaan Arab, iaitu termasuk Palestin, kepentingan rakyat, sebab itulah gagasan Buku Hijaunya menampilkan kaedah kesaksamaan pengagihan harta negara dan tidak kurang penting ialah usaha pembebasan rakyat terjajah di seluruh dunia, dari Ireland Utara di barat hinggalah rakyat Moro di timur.
Orang Islam Malaysia sendiri menghormatinya. Berapa ramai anak-anak Melayu yang bernama Gaddafi kerana bapa masing-masing mengkaguminya.
Penulis ingat pada tahun 1972, apabila sebagai kanak-kanak, kawan-kawan sekolah agama bersorak apabila dari radio dilaporkan bahawa Gaddafi menghantar tentera ke Mesir untuk menyertai Perang Ramadan yang menyaksikan pertama kali tentera Israel terpaksa berundur dari SInai.
Ketika Yasser Arafat dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diusir dari Beirut atas tekanan Barat, maka ke Libyalah tempat mereka mencari perlindungan. Tripoli menggantikan Beirut sebagai pangkalan PLO.
Maka sepanjang pemerintahannya, kehadiran Libya di Malaysia dirasakan. Kerajaan Gaddafi menubuhkan Pusat Kebudayaan Arab Libya di Kuala Lumpur yang peranannya setanding dengan agensi-agensi penerangan kuasa besar lainnya seperti Lincoln Cultural Center (Amerika Syarikat) , British Council, Goethe Institut (Jerman) dan Alliance Francaise (Perancis).
Libya menjadi wakil negara dunia ketiga yang bersuara mencabar pihak Barat. Gaddafi membantu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) untuk memiliki bangunannya sendiri serta meningkatkan usaha minoriti Islam di Asia Pasifik. Sokongannya kepada Pertubuhan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) adalah jelas.
Sebelum kemunculan Iran sebagai pusat politik yang menjadi perhatian umat Islam, Libya di bawah Gaddafi yang merintis persidangan-persidangan antarabangsa untuk pertubuhan-pertubuhan Islam di seluruh dunia.
Akhir
Namun dari tahun ke tahun hingga di akhir pemerintahannya, terdengarlah betapa kuasa yang dimilikinya bertukar kepada bentuk kuku besi. Layanannya kepada pihak penentang dilaporkan kejam. Turut menjadi mangsanya ialah dari kalangan aktivis Islam.
Tetapi apa yang hendak dihairankan tentang perkara ini di dunia Arab. Mesir, Syria, Sudan, Yaman, Iraq, Tunisia, Algeria dan negara-negara Arab lain juga melayan pembangkang mereka secara keras dan kejam.
Tidak ada satupun negara Arab yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan mengadakan pilihan raya umum seperti mana amalan piawai dunia.
Hanya pada tahun ini apabila berlaku kebangkitan rakyat dunia Arab, bermula dari Tunisia, bersambung ke Mesir dan melarat ke Libya, maka kekejaman Gaddafi semakin kuat dilaporkan.
Tidak seperti Hosni Mubarak di Mesir, Gaddafi enggan berundur sebaliknya menjerumuskan negaranya ke dalam perang saudara.
Maka dalam tempoh beberapa bulan dilaporkan pembunuhan dahsyat dilakukan oleh pihak penyokong Gaddafi.
Ternyata seperti di negara-negara Arab yang lain, sebahagian besar rakyat Libya membenci Gaddafi.
Hakikat bahawa kuasa-kuasa Barat telah memasuki Libya dan membantu penentang-penentang Gaddafi secara aktif adalah suatu yang tidak menghairankan.
Dari dulu, Gaddafi merupakan musuh Barat dan apabila rakyatnya sendiri bangkit, tentulah AS dan Eropah dengan senang hati campur tangan. Libya amat strategik dengan kekayaan minyaknya yang tidak dapat ditolak oleh negara-negara Barat.
Melalui sistem demokrasi, bukan saja mereka dapat menunjukkan pembelaan kepada rakyat Libya tetapi pada waktu yang sama, Barat mengharapkan penguasaan ekonomi dan sumber negara itu.
Bendera merah, hitam dan hijau yang dikibarkan oleh para penentang Gaddafi, dan kini menguasai Libya adalah panji-panji lama ketika negara itu di bawah pemerintahan Raja Idris. Pada masa itu Libya dikuasai oleh Barat.
Adakah dengan berakhirnya Gaddafi ini, Libya kembali dikuasai Barat? Adakah demokrasi mesti membawa kepada keadaan begitu?
Kalau begitu, sudah tentu ia merupakan suatu yang malang bagi rakyat Libya. Demokrasi diharapkan menjadi sistem yang dapat memberikan kebebasan dan kehidupan bermutu serta bermaruah kepada rakyat.
Tetapi jika demokrasi menjadi sistem yang boleh dimanipulasi oleh Washington dan Tel Aviv, maka ia adalah malang bagi rakyat Libya, dan dunia Arab umumnya.
Sekali lalu, nasib Gaddafi adalah seperti Saddam yang juga dibenci oleh rakyatnya.
Tetapi sekurang-kurangnya terdapat dua perbezaan iaitu pertama, saddam tidak dibunuh oleh tentera AS, tetapi ditangkap dan kemudian dibicarakan.
Sementara Gaddafi yang merayu supaya nyaeanya diselamatkan telah dibunuh oleh pihak penentangnya, yang terdiri daripada rakyat Arab Libya juga.
Kedua, kejatuhan Saddam adalah ekoran daripada penaklukan tentera Barat ke atas Iraq. Tetapi di Libya, ia dilakukan oleh rakyatnya sendiri, Namun, senjata dan bantuan lain disalurkan oleh pihak barat.
Ternyata perbezaannya kecil saja.
Dunia terutama orang Islam mengharapkan supaya Libya dan Iraq memandang ke depan dan tinggalkan dendam masa lalu. Tumpuan wajar kepada membangunkan negara untuk kesenangan hidup rakyat.
Malangnya keadaan itu masih sukar di Iraq. Di Libya pula, bimbang keamanan tidak dapat diwujudkan kerana pembunuhan Gaddafi merupakan permulaan yang tidak baik bagi kerajaan baru Libya.
Sekurang-kurangnya ketika Afghanistan tumbang, Mujahidin tidak membunuh presiden komunis terakhir Babrak Karmal. Dia dipenjarakan.
Keadaan Afghanistan menjadi buruk apabila Taliban mengalahkan Mujahidin dan terus menggantung Babrak Karmal tanpa proses perbicaraan. Akhirnya negara itu sehingga ke hari ini tidak berjaya mengecapi perdamaian. Perang Saudara dengan penglibatan kuasa luar terus-meneruskan menyebabkan rakyat mereka menderita berpanjangan.
Pembunuhan Gaddafi tentu menimbulkan rasa ngeri di kalangan negara-negara Arab lain yang berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya khususnya Yaman dan Syria.
Kuasa sememangnya indah, tetapi apabila ia melangkaui tempoh yang sewajarnya, pemilik kuasa pula akan menjadi mangsa.
Siapa menabur angin, mereka akan menuai badai.
Lebih-lebih lagi pada negara yang telah tertumpah darah rakyatnya. Itulah seperti yang berlaku di Libya. Apabila rakyat Libya terkorban kerana Gaddafi, maka lebih keras balasan yang akan diterimanya.
Keadaan ini telah pun berlaku di Syria. Presiden Bashar Al-Assad akan mengalami keadaan yang sama dengan Gaddafi jika dia tidak menangani perubahan politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat.
Begitu juga dengan Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh. Kedua-dua negara ini adalah strategik bagi AS. Syria kerana ia berdepan dengan Israel. Sementara Yaman dilihat sebagai pangkalan Al-Qaeda.
Dunia Arab menanti perubahan.

Monday 17 October 2011

ALAM SEKITAR: Rencana Khas

Baja Kompos Secara Ringkasnya

Kesegaran bau hutan sebenarnya ialah bau humus atau tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang telah reput. Baja kompos ialah bahan organik yang telah reput. Membuat baja kompos daripada bahan buangan organik bukan sahaja dapat mengurangkan sampah, malah ia dapat menyuburkan tanah di taman atau halaman rumah anda.

Baja kompos terhasil apabila bahan organik mereput dan pecah kepada bahan yang kaya dengan nutrien yang dipanggil “humus” melalui haba dan respirasi yang dilakukan oleh organisma dalam tanah (cacing, semut, bakteria dan kulat). Apa-apa sahaja bahan organik, contohnya daun dan sisa makanan boleh menjadi baja kompos. Pembuatan baja kompos dapat membantu menyelesaikan banyak masalah alam sekitar jika dilakukan dalam sesebuah komuniti dan disertai oleh ramai individu. Hampir 40 peratus daripada sampah sarap di rumah kita setiap hari terdiri daripada sayur-sayuran dan sisa dapur yang lain. Cara yang biasa dilakukan untuk menghapuskan sampah ini ialah dengan melonggokkan bahan yang berguna ini di tempat pembuangan sampah. Pembuatan baja kompos menggunakan bahan organik ini dengan mengitar semula sampah kepada humus yang kaya dengan nutrien.

Humus ialah baja tanah natural yang sangat baik. Dengan mencampurkannya dengan tanah, humus boleh membantu pokok membesar dengan lebih sihat dan lebih cantik TANPA bahan kimia! Petani tradisional dan pemilik ladang moden di Malaysia tahu menghargai kebaikan baja kompos untuk mengkayakan tanah dan mengurangkan bahan buangan. Humus juga boleh membantu membaikpulih tanah di kawasan-kawasan seperti bekas kuari.

Hampir apa sahaja bahan organik boleh dijadikan baja kompos. Bahan-bahan yang boleh dijadikan baja kompos termasuklah bahan yang kaya dengan nitrogen dan karbon, rumput, sayur-sayuran, kulit buah-buahan, daun kering, topi mengkuang, kulit telur, beg kertas, kertas atau karbod, daun teh, serpihan kayu, tulang-tulang kecil, serbuk kopi, serbuk papan, najis haiwan (lembu, ayam, kuda, arnab), sisa meja makan (nasi, roti) dan sebagainya.

Alam semulajadi memproses baja kompos setiap masa – apabila daun gugur ke tanah, apabila haiwan membuang najis mereka, dan apabila semua makhluk mati. Alam mempunyai komuniti khas yang membantu memecahkan bahan-bahan ini dan menukarnya kepada nutrien yang berguna kepada semua tumbuh-tumbuhan. Komuniti ini dikenali sebagai komuniti detritus, dan ia termasuklah bakteria, kulat dan cacing. Proses penghasilan baja kompos hanya memerlukan beberapa elemen asas: bahan organik, organisma tanah, air, oksigen dan haba. Sisa organik seperti daun, sayur-sayuran dan kulit buah-buahan, daun teh, serbuk kopi dan kertas tisu semuanya boleh dijadikan baja kompos.

Rumput yang telah dipotong adalah bahan terbaik untuk dibuat baja kompos dan ia juga mereput dengan cepat. Sisa organik lain seperti kulit telur, kulit manggis dan bahan organik keras yang lain akan mengambil masa yang lebih untuk mereput.

Organisma tanah juga penting dalam pembuatan baja. Kebanyakan komuniti akan “muncul” perlahan-lahan apabila anda mula melonggokkan bahan ini di tanah. 

Membina Longgokan Baja Kompos
Campurkan daun reput dan tanah dari hutan atau dari belakang rumah anda. Organisma tanah telahpun berada dalam bahan ini dan akan membina komuniti baru dalam longgokan baja anda.

Kadar kelembapan yang betul juga penting untuk menghasilkan baja yang sihat. Mikroorganisma memerlukan persekitaran yang lembap untuk penghantaran nutrien. Jika timbunan itu terlalu kering, proses penghasilan baja berjalan perlahan. Jika timbunan itu terlalu lembap, tanah akan menjadi berat dan oksigen akan tertekan keluar, menyebabkan longgokan itu mereput dan berbau busuk. Longgokan harus dibiarkan lembap tetapi tidak basah, seperti span yang telah diperah. Cuba gunakan air hujan sebanyak mungkin untuk mengekalkan kelembapan longgokan. 

Perlu juga diingat bahawa organisma tanah dan bakteria memerlukan oksigen untuk hidup. Tanpa bekalan oksigen yang berterusan, organisma yang penting ini akan mati dan akan digantikan dengan organisma yang anda tidak perlukan. Jika ini berlaku, longgokan baja anda akan mula berbau busuk. Untuk mengelakkan ini berlaku, longgokan baja mestilah dibalik-balikkan sekali dalam tiga minggu untuk membawa bahan yang di bawah ke atas dan sebaliknya. 

Satu longgokan baja kompos mempunyai “suhu optima” di mana proses pereputan berlaku paling cepat. Walau bagaimanapun, hawa di kawasan tropika sudah cukup sesuai untuk penghasilan baja dan kita tidak perlu bimbang tentang perkara ini.

Menghasilkan longgokan baja kompos adalah perkara mudah. Sebuah rumah yang mempunyai ruang kebun yang luas memerlukan kawasan seluas kira-kira 1.21 meter hingga 1.524 meter panjang kali 1.22 meter lebar dan kira-kira 0.9144 meter tinggi. Anda boleh gunakan kayu dan dawai untuk membuat tong baja. Longgokkan baja ini sehingga separuh daripada tong, dan apabila anda membalik-balikkan longgokan, balikkannya ke setengah bahagian tong yang satu lagi. Dengan cara ini anda boleh mencampurkan bahan-bahan longgokan dan mengeluarkan baja yang telah siap dengan mudah. 

Bagi kebun yang lebih kecil, anda boleh gunakan bekas air atau tong sampah buruk dengan membuat lubang pada tepi dan bawah bekas. Buatkan satu pintu yang terbuka di bawah bekas atau buangkan terus bahagian bawah tong. Dengan cara ini anda boleh mengeluarkan humus semasa menambah bahan buangan baru di bahagian atas, membolehkan proses penghasilan baja berjalan secara berterusan.

Lebih baik jika anda memotong sayuran yang besar dan kertas suratkhabar kepada cebisan-cebisan kecil untuk mempercepatkan pereputan. Elakkan dari menambah banyak buah-buahan sitrus kerana bahan ini boleh membuatkan humus terlalu berasid dan ia mungkin akan merosakkan pokok-pokok.

Juga elakkan dari menambah rumput menjalar dan biji benih yang mungkin tahan reput. Jangan tambah najis kucing atau anjing pada longgokan baja. Najis kucing mengandungi bakteria perosak yang tahan reput. Daging, tulang dan sisa makanan berlemak harus dielakkan. Bahan-bahan ini sering menarik perhatian haiwan perosak seperti tikus. Tambahan pula, makanan berlemak lambat reput kerana lemak boleh menghalang kemasukan udara yang diperlukan oleh mikrob pereput untuk membuat kerja mereka.

Pokok yang tumbuh berdekatan dengan longgokan baja akan bersaing dengan mikroorganisma untuk mendapatkan nitrogen. Jika ada pokok berdekatan dengan tong baja, pastikan anda menambah banyak bahan-bahan yang kaya dengan nitrogen untuk mengurangkan kehilangan nutrien. 

Jika penghasilan baja dilakukan dengan betul, longgokan tersebut sentiasa lembap dan dibalik-balikkan dengan kerap, longgokan itu sepatutnya berbau seperti daun basah atau seperti bau dalam hutan. Ia tidak sepatutnya berbau busuk!

Anda sepatutnya mula mendapat humus dalam masa tiga bulan atau kurang. Penghasilan baja kompos ialah satu aktiviti yang mudah dan boleh dijadikan sebahagian daripada rutin harian anda.

Untuk maklumat lanjut mengenai penghasilan baja kompos atau lain-lain isu alam sekitar, sila hubungi TrEES atau telefon 03-7958 7978. TrEES ialah sebuah organisasi alam sekitar tanpa profit.

Bagaimana Membuat Baja Kompos Sabtu, 2008 Mei 10 
Baja kompos merupakan baja yang mampu menguruskan sampah organik seharian kita,secara tidak langsung baja kimia yang berbahaya dapat dikurangkan.Baja kompos adalah campuran bahan-bahan buangan atau sisa pertanian yang mereput serta terurai melalui proses penguraian bakteria menjadi baja semula jadi yang baik untuk kesuburan tanih.Secara mudahnya baja kompos dapat meneruskan kelestarian alam sekeliling kita.Pembuatan baja kompos selalunya amat menjimatkan malahan jika kena dengan cara dan keadaannya ianya adalah percuma sahaja.Malahan sekarang permintaan baja organik agak tinggi kerana tidak menggunakan sebarang bahan kimia atau racun serangga sebaliknya menggunakan bahan sisa tumbuhan atau haiwan.Terdapat pelbagai cara membuat baja kompos,namun saya cuba ringkaskan cara yang paling mudah di sini.

Antara bahan-bahan membuat baja kompos

• Sisa makanan buangan daripada dapur seperti kulit telur,kulit buah-buahan atau sayur-sayuran,kulit kekacang atau sebarang bahan sisa sayuran atau buah-buahan.

• Sisa rumput,daun kering,habuk kayu atau pun sisa kertas yang sudah dikoyak-koyak menjadi kecil(kalau rumput dan habuk kayu langsung tidak ada)

• Najis haiwan- sama ada najis ayam atau pun lembu atau najis haiwan ternakan(jangan terlalu banyak kerana hanya sedikit diperlukan untuk proses menguraian bakteria.

• Jangan gunakan lebihan sisa daging,ikan ,bahan tenusu atau minyak kerana ini dapat menarik perhatian serangga yang akan memakan atau menngangkut sisa makan itu ke sarang ,atau membuat sarang mereka di situ.

• Air ,untuk pelembapan serta memudahkan penguraian bakteria

• Cangkul atau pun alatan yang sesuai untuk mengaul baja kompos itu nanti

• Bekas yang sesuai untuk baja kompos- terpulanglah kepada anda sama ada menggunakan bekas kayu atau pun apa-apa bekas yang sesuai.

• kanvas atau plastik( untuk membalut ,sebagai langkah terakhir)

Kaedah Membuatnya:

1. Masukan bahan pertama iaitu sisa makanan yang berupa sisa sayuran atau buh-buahan,rumput,daun kering ,habuk kayu ke dalam acuan
2. Masukan 1% najis ternakan dan di siram dengan air,kemudian bolehlah ditutup dengan lapisan rumput atau pun daun-daun kering
3. mampatkan lapisan ini dengan menggunakan cangkul dan siramkan air sekali lagi
4. Ulanglah langkah 1 dan langkah 2 sehingga acuan penuh( sehingga 2 atau 3 kaki.Jangan lupa balut adunan tadi dengan kanvas atau plastik
5. Terbalikkan adunan setiap 2 minggu selepas sebulan adunan tadi di simpan.Baja kompos akan terhasil selepas 3-4 bulan( ambil masa sedikit,tetapi tak apalah asalkan selamat serta tidak melibatkan kos yang tinggi
6. Lapisan kompos yang mengecil menunjukkan bahawa baja kompos itu sedang mengalami penguraian bakteria dan membuktikan baja kompos anda akan terhasil.
7. Lapisan tadi jika digaul dengan turutan yang betul akhirnya akan menbentuk baja kompos yang berwarna kehitaman dan anda bolehlah mencampurkannya dengan tanah lain untuk tujuan tanaman atau pembajaan.

Semoga tips ini akan memberikan sedikit manfaat untuk kita semua.Apa yang penting baja kompos sesuai untuk dipraktikkan oleh sesiapa terutamanya warga desa yang pastinya mempunyai bahan untuk membuat baja kompos yang dibaung begitu sahaja seperti sisa rumput.Pihak sekolah juga boleh mengadakan kempen membuat baja kompos yang dapat dijayakan oleh para pelajar sebagai satu aktiviti rekreasi serta menanamkan perasaan bangga dapat mengoptimumkan penggunaan sumber yang selama ini dibuang begitu sahaja.

Thursday 6 October 2011

pantun

Pantun Perli Sayang
Pakai tudung tapi bertelanjang
Itulah gaya orang sekarang
Mana tidaknya, ukuran body semua terang-terang
Yang mana kendur yang mana tegang

Baju nipis nampak bayang
Peha gebu saja ditayang
Lebih baik tak pakai baju senang
Dah tentu boleh tunjuk terang-terang
Baju ketat seluar sendat
Pakai tudung just ikat-ikat
Dari mula memang bukan adat
Disudut agama pun gaya tak berkat

Tudung jarang baju nipis
Pakai sikit boleh nampak 'garis'
Mata orang terbeliak, kita membengis
Bila kena kutuk, kenapa menangis

Lengan pendek blaus gantung
Jeans ketat melekat dipunggung
Jadi orang Islam ni sebenarnya beruntung
Agama tak suruh berbungkus macam pocong

Apa rasanya, kepala bertudung, kain terbelah
Kalau takat rambut orang kurang ghairah
Lain kalau peha gebu atau ternampak lurah
Mata yang memandang boleh keluar darah

Kebaya ketat, kain terbelah
Ikat tudung macam tak sudah
Nak ikut suruhan agama memang tak mudah
Tapi Islam sebenarnya indah

Tutup aurat bukan suruh berselubung
Sampai tak nampak muka dan hidung
Yang faham tuntutan amat beruntung
Taklah bersungut mulut pun muncung

Dah kalau mula minat nak bertudung
Cubalah sesuaikan apa yang disarung
Kalau masih rasa jiwa tu 'mendung'
Maknanya nafsu tu belum dapat dibendung

Bertudung itu bukan satu paksaan
Ianya lebih kepada keinsafan
Selalunya nafsu masih dikuasai syaitan
Itu la pasal fesyen pun yang bukan-bukan

Asal menutup aurat itu tuntutan
Kalau dianggap susah, tu sebab bosan
Yang ye nya hati tak berkenan
Tu yang berjela-jela mencipta alasan

Menutup aurat satu syariat
Kepada agama kita taat
Hidup berkat pahala berlipat-lipat
Didunia selamat, di akhirat hebat

Dalam tiap perbuatan, kita mulakan dengan niat
Gitu juga bertudung, janganlah konon nak tunjuk taat
Alamat pahala lebur, dosa bertingkat-tingkat
Mentelah pula berfesyen tak kena tempat

Baik tak bertudung kalau hanya nak rosak imej
Walhal Islam suruh pakai yang sopan dan manis
Dah kalau takat pakaian ngalahkan pengemis
Atas tutup, bawah buka, ni apa punya jenis?

Kita memang hidup dalam era serba maju
Sungguhlah iman tak dinilai just ikut baju
Kalau bertudung tapi pakai yang 'gitu-gitu'
Kita pun susah kenal, manusia ke hantu

Banyak salah faham bila mula bertudung
Maknanya no fesyen-fesyen only the baju kurung
No more pant suit, kebaya or kebarung
Dah kalau gitu lebih baik duduk berkurung

Bertudung bergaya biarlah yang sempurna
Tak jadi bahan kutuk, jangan pula menambah dosa
Pun tak usahlah juga terlebih gaya
Islam itu suka yang sederhana

Kenalah pula kita wanita bekerjaya
Fesyen busana muslimah yang paling kena
Kalau rasa nak letak kaler, tu yang paling asas je
Sebab agama sendiri menggalakan kita selesa

Mana tidaknya, bila bekerja kita bergaul semua
Kalau sendiri memandang muka pun layu je
Orang dok mengata, kita pun rasa terhina
Dah kalau 'put color' jangan macam 'rainbow' pula

Siapa kata kita tak boleh berwarna
Tak caya cuba tengok semua pendakwah-pendakwah kita
Ustazah-ustazah mereka tetap juga bubuh kaler
Taklah sampai mengancam, cuma biar nampak 'bernyawa'

Tu sebab kita buat kerja semua dengan niat
Jadi terserah budi bicara tuan punya jasad
Dah kononnya bertudung tapi hati masih jahat
Baik tak le payah berpura nak tutup aurat

Kalau dah memang rasa nak berubah
Peduli kata orang bukan dia yang susah payah
Asal niat, matlamat dan cara kita istiqamah
Lantak mereka lah kalau nak tergigit lidah

Bersamalah kita mengkaji semula
Pakaian kita yang bagaimana gayanya
Andai belum betul-betul bersedia
Janganlah kita mencemar kesuciannya

Andai terasa hidayah menyinggah
Lakukan yang betul mengikut sunnah
Menutup aurat jangan sekali dirasa payah
Mengapa diperleceh, itukan perintah

Andai dihati redha dan ikhlas
Diwajah Nur terpancar jelas
Walaupun bergaya tak berapa 'kelas'
Asal Tuhan tahu, diakhirat pengorbanan terbalas

Harap maaflah kalau terlalu panjang
Bukan sengaja mereka yang bukan-bukan
Berpantun seloka bukan setakat hiburan
Yang mana betul jadikan pedoman