Makna kematian
Gaddafi
Oleh
ZIN MAHMUD

Kegembiraan meraikan kematian Gaddafi belum
menjamin keamanan Libya selepas ini.
BAGI mereka yang mengikuti laporan
langsung oleh Al-Jazeera dan BBC mengenai kematian Muammar Gaddafi Selasa lalu,
tentu dapat mendengar bunyi latar paparan dari Tripoli itu.
Ini kerana laungan yang terdengar itu adalah takbir
hari raya berulang- ulang berkumandang menggunakan pembesar suara ketika
anak-anak muda Libya bersorak kegembiraan apabila mendapat tahu Gaddafi telah
mati.
Bagi orang Malaysia laungan takbir hari raya pada
waktu ini adalah suatu yang pelik.
Dalam laporan langsung di BBC, pemberitanya ialah
seorang bukan Islam dan apabila ditanya oleh pembaca berita dari London, apakah
laungan yang didengar dari masjid itu, dia menjawab, tidak tahu tetapi
menurutnya laungan itu berulang-ulang berkumandang sejak diumumkan kematian
Gaddafi.
Di Al-Jazeera pula pemberitanya mengatakan bahawa
laungan takbir itu adalah sebagai tanda kegembiraan rakyat Libya atas kematian
Gaddafi.
Sememangnya dalam sejarah Islam, takbir yang
dilaungkan semasa hari raya itu berupa zikir memuji kebesaran Ilahi ekoran
kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar melawan Musyrikin. Dalam laungan
itu dinyatakan kejayaan orang Islam mengalahkan orang kafir.
Adalah jelas rakyat Libya amat marah pada Gaddafi.
Amarah mereka ini menjadi tanda tanya bagi umat
Islam di luar Libya. Ini kerana semasa hidupnya, Gaddafi dipandang tinggi oleh
umat Islam.
Bermula dengan rampasan kuasa ke atas Raja Idris
pada tahun 1969, Gaddafi muncul sebagai seorang pemimpin Islam yang berjuang
membela hak kebangsaan Arab, iaitu termasuk Palestin, kepentingan rakyat, sebab
itulah gagasan Buku Hijaunya menampilkan kaedah kesaksamaan pengagihan harta
negara dan tidak kurang penting ialah usaha pembebasan rakyat terjajah di
seluruh dunia, dari Ireland Utara di barat hinggalah rakyat Moro di timur.
Orang Islam Malaysia sendiri menghormatinya. Berapa
ramai anak-anak Melayu yang bernama Gaddafi kerana bapa masing-masing
mengkaguminya.
Penulis ingat pada tahun 1972, apabila sebagai
kanak-kanak, kawan-kawan sekolah agama bersorak apabila dari radio dilaporkan
bahawa Gaddafi menghantar tentera ke Mesir untuk menyertai Perang Ramadan yang
menyaksikan pertama kali tentera Israel terpaksa berundur dari SInai.
Ketika Yasser Arafat dan Pertubuhan Pembebasan
Palestin (PLO) diusir dari Beirut atas tekanan Barat, maka ke Libyalah tempat
mereka mencari perlindungan. Tripoli menggantikan Beirut sebagai pangkalan PLO.
Maka sepanjang pemerintahannya, kehadiran Libya di
Malaysia dirasakan. Kerajaan Gaddafi menubuhkan Pusat Kebudayaan Arab Libya di
Kuala Lumpur yang peranannya setanding dengan agensi-agensi penerangan kuasa
besar lainnya seperti Lincoln Cultural Center (Amerika Syarikat) , British
Council, Goethe Institut (Jerman) dan Alliance Francaise (Perancis).
Libya menjadi wakil negara dunia ketiga yang
bersuara mencabar pihak Barat. Gaddafi membantu Pertubuhan Kebajikan Islam
Malaysia (Perkim) untuk memiliki bangunannya sendiri serta meningkatkan usaha
minoriti Islam di Asia Pasifik. Sokongannya kepada Pertubuhan Pembebasan
Kebangsaan Moro (MNLF) adalah jelas.
Sebelum kemunculan Iran sebagai pusat politik yang
menjadi perhatian umat Islam, Libya di bawah Gaddafi yang merintis
persidangan-persidangan antarabangsa untuk pertubuhan-pertubuhan Islam di
seluruh dunia.
Akhir
Namun dari tahun ke tahun hingga di akhir
pemerintahannya, terdengarlah betapa kuasa yang dimilikinya bertukar kepada
bentuk kuku besi. Layanannya kepada pihak penentang dilaporkan kejam. Turut
menjadi mangsanya ialah dari kalangan aktivis Islam.
Tetapi apa yang hendak dihairankan tentang perkara
ini di dunia Arab. Mesir, Syria, Sudan, Yaman, Iraq, Tunisia, Algeria dan
negara-negara Arab lain juga melayan pembangkang mereka secara keras dan kejam.
Tidak ada satupun negara Arab yang mengamalkan sistem
demokrasi berparlimen dengan mengadakan pilihan raya umum seperti mana amalan
piawai dunia.
Hanya pada tahun ini apabila berlaku kebangkitan
rakyat dunia Arab, bermula dari Tunisia, bersambung ke Mesir dan melarat ke
Libya, maka kekejaman Gaddafi semakin kuat dilaporkan.
Tidak seperti Hosni Mubarak di Mesir, Gaddafi
enggan berundur sebaliknya menjerumuskan negaranya ke dalam perang saudara.
Maka dalam tempoh beberapa bulan dilaporkan
pembunuhan dahsyat dilakukan oleh pihak penyokong Gaddafi.
Ternyata seperti di negara-negara Arab yang lain,
sebahagian besar rakyat Libya membenci Gaddafi.
Hakikat bahawa kuasa-kuasa Barat telah memasuki
Libya dan membantu penentang-penentang Gaddafi secara aktif adalah suatu yang
tidak menghairankan.
Dari dulu, Gaddafi merupakan musuh Barat dan
apabila rakyatnya sendiri bangkit, tentulah AS dan Eropah dengan senang hati
campur tangan. Libya amat strategik dengan kekayaan minyaknya yang tidak dapat
ditolak oleh negara-negara Barat.
Melalui sistem demokrasi, bukan saja mereka dapat
menunjukkan pembelaan kepada rakyat Libya tetapi pada waktu yang sama, Barat
mengharapkan penguasaan ekonomi dan sumber negara itu.
Bendera merah, hitam dan hijau yang dikibarkan oleh
para penentang Gaddafi, dan kini menguasai Libya adalah panji-panji lama ketika
negara itu di bawah pemerintahan Raja Idris. Pada masa itu Libya dikuasai oleh
Barat.
Adakah dengan berakhirnya Gaddafi ini, Libya
kembali dikuasai Barat? Adakah demokrasi mesti membawa kepada keadaan begitu?
Kalau begitu, sudah tentu ia merupakan suatu yang
malang bagi rakyat Libya. Demokrasi diharapkan menjadi sistem yang dapat
memberikan kebebasan dan kehidupan bermutu serta bermaruah kepada rakyat.
Tetapi jika demokrasi menjadi sistem yang boleh
dimanipulasi oleh Washington dan Tel Aviv, maka ia adalah malang bagi rakyat
Libya, dan dunia Arab umumnya.
Sekali lalu, nasib Gaddafi adalah seperti Saddam
yang juga dibenci oleh rakyatnya.
Tetapi sekurang-kurangnya terdapat dua perbezaan
iaitu pertama, saddam tidak dibunuh oleh tentera AS, tetapi ditangkap dan
kemudian dibicarakan.
Sementara Gaddafi yang merayu supaya nyaeanya
diselamatkan telah dibunuh oleh pihak penentangnya, yang terdiri daripada
rakyat Arab Libya juga.
Kedua, kejatuhan Saddam adalah ekoran daripada
penaklukan tentera Barat ke atas Iraq. Tetapi di Libya, ia dilakukan oleh
rakyatnya sendiri, Namun, senjata dan bantuan lain disalurkan oleh pihak barat.
Ternyata perbezaannya kecil saja.
Dunia terutama orang Islam mengharapkan supaya
Libya dan Iraq memandang ke depan dan tinggalkan dendam masa lalu. Tumpuan
wajar kepada membangunkan negara untuk kesenangan hidup rakyat.
Malangnya keadaan itu masih sukar di Iraq. Di Libya
pula, bimbang keamanan tidak dapat diwujudkan kerana pembunuhan Gaddafi
merupakan permulaan yang tidak baik bagi kerajaan baru Libya.
Sekurang-kurangnya ketika Afghanistan tumbang,
Mujahidin tidak membunuh presiden komunis terakhir Babrak Karmal. Dia
dipenjarakan.
Keadaan Afghanistan menjadi buruk apabila Taliban
mengalahkan Mujahidin dan terus menggantung Babrak Karmal tanpa proses
perbicaraan. Akhirnya negara itu sehingga ke hari ini tidak berjaya mengecapi
perdamaian. Perang Saudara dengan penglibatan kuasa luar terus-meneruskan
menyebabkan rakyat mereka menderita berpanjangan.
Pembunuhan Gaddafi tentu menimbulkan rasa ngeri di
kalangan negara-negara Arab lain yang berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya
khususnya Yaman dan Syria.
Kuasa sememangnya indah, tetapi apabila ia
melangkaui tempoh yang sewajarnya, pemilik kuasa pula akan menjadi mangsa.
Siapa menabur angin, mereka akan menuai badai.
Lebih-lebih lagi pada negara yang telah tertumpah
darah rakyatnya. Itulah seperti yang berlaku di Libya. Apabila rakyat Libya
terkorban kerana Gaddafi, maka lebih keras balasan yang akan diterimanya.
Keadaan ini telah pun berlaku di Syria. Presiden
Bashar Al-Assad akan mengalami keadaan yang sama dengan Gaddafi jika dia tidak
menangani perubahan politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat.
Begitu juga dengan Presiden Yaman, Ali Abdullah
Saleh. Kedua-dua negara ini adalah strategik bagi AS. Syria kerana ia berdepan
dengan Israel. Sementara Yaman dilihat sebagai pangkalan Al-Qaeda.
Dunia Arab menanti perubahan.
No comments:
Post a Comment